|
BANDAR GAZA - Israel dan kumpulan pejuang di Gaza bersetuju untuk saling menghentikan serangan semalam dalam satu gencatan senjata yang diusahakan oleh Mesir.
Perkembangan tersebut berlaku selepas 25 penduduk Gaza terbunuh manakala 80 cedera dalam pertempuran empat hari antara Israel dan Palestin.
Berdasarkan persetujuan itu yang berkuat kuasa pada pukul 1 pagi waktu tempatan kelmarin, Israel dan Kumpulan Jihad Islam di Gaza bersetuju untuk berhenti melancarkan serangan.
"Terdapat persefahaman bersama (Israel dan pejuang Palestin) dan kami mengikuti perkembangan yang berlaku," kata Menteri Pertahanan Awam Israel, Matan Vilnai dengan menjelaskan bahawa gencatan senjata tersebut tidak melibatkan persetujuan bertulis.
Sejak gencatan senjata itu dipersetujui, bilangan roket yang dibedil ke Israel berkurangan dengan mendadak manakala langit di Gaza turut tenang tanpa kehadiran pesawat pejuang rejim Zionis.
Namun, kedua-dua belah pihak segera memberi amaran gencatan senjata itu akan terbatal jika pihak musuh melakukan tindakan provokasi yang melampau.
Gencatan senjata itu berkuat kuasa selepas keganasan rejim Zionis berlaku selama empat hari yang bermula dengan pembunuhan Ketua Jawatankuasa Penentangan Popular, Zahir Kaisi oleh tentera Israel pada Jumaat lalu.
Ekoran pembunuhan tersebut, pejuang-pejuang Palestin membedil roket ke selatan Israel yang dibalas dengan serangan udara oleh rejim Zionis. - AFP
sumber kosmo!