Perak sedia lakar kejutan

Posted by yakuza on Monday 10 October 2011






IPOH - Ketiadaan tonggak utama tidak akan menjejaskan tumpuan Perak untuk mengejutkan Selangor pada suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Shah Alam hari ini.
Pengurus Perak, Khairul Azwan Harun berkata, ketiadaan K. Nanthakumar dan Muhammad Rafiuddin Mohd. Rodin tidak merencatkan strategi yang disusun jurulatih Norizan Bakar.
Menurutnya, Perak akan beraksi dengan komitmen yang tinggi dalam usaha mengejutkan Gergasi Merah.
“Kami menyifatkan perlawanan esok seperti perlawanan peringkat kumpulan yang lalu
. Kita tetap ada keyakinan tinggi,” katanya semalam.
Pemain pertahanan berpengalaman, Nanthakumar yang lebih dikenali sebagai ‘kereta kebal Seladang’ diketepikan setelah menerima tiga kad kuning manakala Muhammad Rafiuddin mengalami kecederaan.
Nanthakumar sering membantu Khairi Zainuddin pada barisan pertahanan dan menggerakkan serangan dari bahagian tengah setelah ketiadaan Sharulnizam Mustafa sejak lima perlawanan lalu.
Penyerang utama, Mohd. Failee Ghazli yang telah menyumbat empat gol dalam enam perlawanan lalu, pasti terasa kehilangan Muhammad Rafiuddin yang sering melakukan hantaran cantik bagi mencipta jaringan.
Khairul Azwan memberitahu, Norizan tidak melakukan sebarang perubahan dalam percaturan strategi Perak dan akan mengekalkan rentak permainan seperti perlawanan lalu.
Beliau meminta para pemain memberi komitmen yang tinggi untuk menjadi senjata utama menghalang kemaraan pihak lawan.
“Tanpa komitmen yang tinggi daripada para pemain, sesebuah pasukan tidak akan mencatat kejayaan walaupun mempunyai pelbagai strategi,” tambahnya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...