Cemas Tergigit Skru Dalam Roti

Posted by yakuza on Thursday, 16 February 2012




GEORGETOWN – Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun cemas tergigit skru ketika sedang enak menikmati roti.

Nurul Ain Anuar dari sebuah sekolah menengah di sini berkata, dia mendapat roti itu dari pihak sekolah ketika Program Merentas Desa pada 11 Februari 2012 lalu.

Menurutnya, dia dan rakan-rakan menikmati roti dari jenama yang sama, namun ketika hampir separuh roti dimakan dia tergigit sesuatu.

“Saya terkejut kerana tergigit benda yang keras sedangkan roti lembut, saya terus lihat dalam inti roti dan mendapati ada benda keras berwarna kelabu.

“Saya dan kawan-kawan lihat ia adalah skru sepanjang dua inci dan segera maklumkan kepada pihak sekolah,” katanya ketika ditemui media.



Nurul Ain berkata, kemudiannya guru bertugas mengarahkan media sekolah mengambil gambar roti berkenaan dan kemudian ia disimpan oleh pihak sekolah.

Bapanya, Anuar Abu Kassim berkata, difahamkan wakil syarikat roti itu datang ke sekolah dan mengambil roti dan skru berkenaan atas alasan mahu membuat penyelidikan.

Menurutnya, bagaimanapun dia kesal kerana sekolah tidak memaklumkan terlebih dahulu perkara itu sebelum dia berjumpa dengan wakil syarikat roti.

“Sebagai seorang konsumer yang prihatin, ini melibatkan isu kebersihan, kesihatan dan keselamatan pengguna.

“Sedangkan roti ini adalah di antara roti yang terkenal juga, malah difahamkan mereka menjadi pembekal roti bagi sekolah-sekolah,” katanya.

Anuar yang sudah bertemu dengan pihak sekolah bagi membawa perkara berkenaan kepada media turut memaklumkan dia tidak mempunyai niat untuk menuntut sebarang ganti rugi.

“Bukan niat untuk menuntut harta benda, tetapi saya lebih pentingkan nyawa anak dan juga orang ramai.

“Keputusan laporan terlalu lambat iaitu pada 20 Februari ini dan kita sendiri tidak tahu apa yang akan diberitahu syarikat itu nanti.

“Kami hanya mahu pengadilan dan saya berharap supaya kejadian seperti ini tidak lagi berlaku pada masa depan.

“Moga syarikat pengeluar roti itu lebih prihatin dan bertanggungjawab,” katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...