SHAH ALAM – Westports Malaysia menyangkal dakwaan ada kapal dari Israel berlabuh di Pelabuhan Klang dan menjalankan urus niaga dengan negara ini.
Ketua Korporatnya, Mejar (B) Manisegaran berkata, Westports tidak pernah beri lampu hijau kepada kapal didaftarkan di Israel untuk berlabuh.
Menurutnya, ada kapal dari Israel singgah, tetapi tidak berlabuh kerana gagal mendapat kebenaran kerajaan.
“Memang ada, tetapi hanya untuk singgah. Mereka tidak dibenarkan menetap dan anak kapal pula dilarang menjejak kaki ke darat, jauh sekali kita melakukan urusan perniagaan dengan kapal itu.
“Seperti dakwaan pihak tertentu (Jingga 13) yang kami menerima kapal dari syarikat Zim Integrated Shipping Service Ltd, pada 16 Februari tahun lalu, iaitu datang secara langsung dari Ashdod Israel, memang ada, tetapi mereka singgah sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, Westports tidak mempunyai kuasa untuk ‘mengganggu’ kapal berkenaan, namun mereka mesti menurunkan bendera Israel jika berada di perairan negara.
“Westports tidak boleh sesuka hati menahan atau menghalau mereka daripada singgah di perairan negara. Begitu juga kapal Zim Integrated hanya singgah di pelabuhan dan anak kapal juga tidak turun ke darat,” katanya.
Ditanya sama ada Westport mempunyai kuasa untuk tidak membenarkan kapal berkenaan walaupun singgah di negara ini, Manisegaran berkata, tidak ada peruntukan undang-undang membenarkan pihaknya menghalau kapal yang sekadar singgah sebelum meneruskan perjalanan ke negara lain.
“Kapal itu bukan terus dari Israel dan menuju terus ke Malaysia, sebaliknya singgah di beberapa pelabuhan sebelum ke destinasi seterusnya. Perkara ini berlaku di mana-mana negara di dunia kerana setiap pelabuhan menjalankan fungsi sebagai transit atau dikenali persinggahan.
“Kita tidak pernah langgar dasar kerajaan yang melarang sebarang bentuk perhubungan dengan Israel. Apa pun, andai kata ada barangan Israel dikesan cuba dibawa ke negara ini, kami tidak akan membenarkan kontena itu turun,” katanya.
Manisegaran turut menyangkal dakwaan sebuah portal mengenai pihaknya ada akses dengan Israel secara langsung.
Katanya, itu semua tidak benar kerana negara ini tidak pernah ada urusan diplomatik dengan Israel.