najib-anwar-B


















PETALING JAYA - PKR yang berulang kali mengajak Datuk Seri Najib Tun Razak agar berdebat dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini menegaskan, mana-mana pemimpin yang tiada rekod sakit mental memang layak untuk berdebat dengan Perdana Menteri.
Semalam, Najib menerusi entri blognya berkata beliau bersedia berdebat dengan sesiapapun asalkan lawannya mempunyai pemikiran yang munasabah dan berwawasan.
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, apa yang paling penting adalah rakyat mahukan debat antara Najib dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diadakan.

"Bukan beliau (Najib) yang tentukan, tetapi rakyat kerana jika debat ini diadakan, ia adalah debat di peringkat tertinggi.

"Kita mesti berdebat, hujah lawan hujah, dasar lawan dasar dan membawa arus ekonomi terbaik untuk negara, biar rakyat membuat pilihan," katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.
Menurut Najib semalam, sebagai seorang ahli politik dalam sebuah negara demokrasi, beliau tidak dapat elak daripada orang bercerita perkara buruk mengenai diri beliau.

"Jika saya tidak boleh menerima hakikat ini, maknanya saya telah buat pilihan kerjaya yang salah. Saya terima dengan adanya. Saya sedia berdebat mengenai politik dengan sesiapa, sama ada lelaki atau perempuan, yang mempunyai pemikiran yang munasabah dan saya hargai suasana politik di Malaysia yang meriah," katanya.


Bagaimanapun, Najib berkata ada satu garis di mana perdebatan demokratik berakhir dan digantikan pula dengan penyalahgunaan, penipuan dan penyalahgambaran.

"Mereka yang serius mengenai masa depan negara kita harus cuba untuk tidak menyeberangi garisan ini," katanya.


credit to sinarharian.com