DAP serlah sikap sebenar

Posted by yakuza on Monday, 10 October 2011

 Beberapa pihak terus mempersoalkan keputusan DAP menarik balik penggantungan selama enam bulan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan kerana mengeluarkan kenyataan biadab di laman sosial Facebook berhubung Jalur Gemilang.
Rata-rata mereka berpendapat, keputusan itu menyerlahkan sikap sebenar DAP yang double standard selain menganggapnya sebagai tindakan terdesak parti itu untuk menyelamatkan kedudukan Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng.
Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin berkata, tindakan DAP itu dilihat tidak lebih untuk mengelakkan Guan Eng daripada dikenakan tindakan kerana kenyataannya memburuk-burukkan Johor.
"Tindakan ini menyerlahkan sikap DAP yang mengamalkan politik putar-belit dan double standard terutama terhadap pemimpin daripada kaum lain. Parti ini juga sudah menjadi seperti parti anak-beranak. Apa akan jadi jika ia memerintah negara," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas keputusan DAP semalam yang mengetepikan hukuman gantung selama enam bulan terhadap Manoharan sebaliknya, sekadar memberi amaran keras terhadap beliau ekoran kenyataannya mengenai Jalur Gemilang.
Pengerusi DAP, Karpal Singh pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) berkata, parti itu juga tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap Guan Eng ekoran kenyataannya mengenai Johor kerana dibuat atas kapasitinya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.
Sementara itu, Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan berkata, keputusan itu tidak bermakna Guan Eng boleh mengelak daripada dikenakan tindakan seperti yang dikenakan terhadap Manoharan.
"Ia adalah perkara yang berbeza (Manoharan dan Guan Eng). Guan Eng tetap perlu diambil tindakan kerana kenyataannya itu. Jangan cuba memperbodohkan orang India dengan keputusan menarik semula penggantungan terhadap Manoharan itu," katanya.
Beliau berkata, keputusan DAP melepaskan Manoharan adalah satu tindakan terdesak untuk menyelamatkan Guan Eng.
"Keputusan terhadap Manoharan itu tidak ikhlas. Ia dibuat hanya selepas saya mempersoalkan penggantungan itu di Dewan Rakyat. Mengapa pula tiada tindakan terhadap Guan Eng?" katanya.
Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng berkata, keputusan DAP itu memang sudah boleh dijangka.
"Saya tidak hairan langsung dengan keputusan itu. Mereka boleh membuat keputusan sesuka hati demi kepentingan sesuatu pihak. Mereka boleh hukum atau tidak mahu hukum mana-mana pemimpin atau ahli yang melakukan kesalahan sesuka hati mereka," katanya.

Menurutnya, tindakan itu menyerlahkan lagi sikap cauvinis DAP yang kononnya mahu menjaga kepentingan semua kaum tetapi sebenarnya ia mementingkan hak satu kaum sahaja.
Dalam pada itu, bekas Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK), SD Johari Md. Yassin berkata, rakyat seharusnya menilai sendiri tindakan double standard DAP itu yang mahu menyelamatkan keadaan dan kedudukan pemimpin yang penting sahaja.
Katanya, sudah terbukti DAP merupakan parti rasis dan ia bertambah teruk lagi kini apabila pemimpin-pemimpinnya sering mengeluarkan kenyataan yang memburukkan negara.
"Memang jelas banyak tindakan DAP menyebabkan parti itu tidak boleh diterima rakyat," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...