Penunggang Thailand juara Piala Sultan Mizan

Posted by yakuza on Monday, 10 October 2011



Tuanku Mizan Zainal Abidin menyampaikan trofi kepada Wipawan Pawitayalarp yang muncul juara Kejohanan Kuda Lasak Terengganu Piala Sultan Mizan 2011 di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) di Lembah Bidong, Setiu semalam. - UTUSAN/AZLAN BAHRUM


SETIU - Penunggang wanita pasukan The Horses dari negara Thailand, Wipawan Pawitayalarp, muncul juara Kejohanan Kuda Lasak Terengganu Piala Sultan Mizan 2011 di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) di Lembah Bidong, Setiu semalam.
Penunggang berusia 37 tahun itu menewaskan 69 peserta lain dalam kejohanan sejauh 120 kilometer dengan catatan masa 6 jam 17 minit dan 43 saat.
Kemenangan itu membolehkan Wipawan membawa pulang piala pusingan, wang tunai berjumlah RM63,000 dan seutas jam tangan berjenama AmaSwiss bernilai RM54,000.

Penunggang State of Terengganu Endurance Team (STET), Mohammad Fuad Hashim di tempat kedua (6:29:17s) manakala tempat ketiga dimenangi Zelma Lotter, 29, dari Tengku Mahkota Kelantan Endurance Team (TMKN Equestrian) dengan masa 7:02:35s.
Muhammad Fuad, membawa pulang wang tunai RM44,000 termasuk hadiah tambahan sebanyak RM18,000 apabila kudanya, M. Marlon dipilih Kuda Terbaik pada kejohanan tersebut.
Pemenang ketiga, Zelma pula menerima RM32,000 manakala tempat keempat, Warit Khuntarhponrn dari pasukan The Horses dan kelima, Mohd. Sulaiman Muda dari pasukan Royal Terengganu Endurance Stables (RTES) masing-masing menerima RM18,000 dan RM12,000.
Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menyampaikan hadiah kepada pemenang.
Turut hadir Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said serta isteri, Toh Puan Norliza Mahmud.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...