Portugal, Denmark bersaing sengit

Posted by yakuza on Sunday 9 October 2011


PARIS - Masih ada 10 slot ke pusingan akhir Euro 2012 untuk direbut pada dua perlawanan terakhir pusingan kelayakan.
Hanya Jerman, Itali, penyandang juara, Sepanyol dan Belanda sudah mengesahkan tiket ke Euro 2012.
Saingan Kumpulan B dilihat paling terbuka, menyaksikan empat negara berpeluang dengan masing-masing dipisahkan hanya tiga mata antara satu sama lain selepas lapan perlawanan.

Rusia menerajui kumpulan dengan kelebihan dua mata di atas Ireland, namun Armenia dan Slovakia mengekori rapat dengan hanya satu mata pada tangga ketiga dan keempat.
Rusia yang layak ke separuh akhir pada Euro 2008, akan bertemu Slovakia di Zilina hari ini dan sekiranya menang, ia meletakkan mereka pada kedudukan selesa menjelang perlawanan terakhir melayan kunjungan pasukan belasahan, Andorra di Moscow minggu depan.
Sementara itu, pertembungan Greece dan Croatia di bandar pelabuhan, Piraeus tidak kurang hebat kerana ia bakal menentukan pasukan yang layak dari Kumpulan F.
Croatia memintas Greece pada tangga teratas bulan lalu dan skuad bimbingan Slaven Bilic hanya memerlukan satu lagi kemenangan untuk layak biarpun masih perlu melayan kunjungan Latvia pada minggu berikutnya.
Situasi lebih tegang kelihatan di Kumpulan H, dengan Portugal, Denmark dan Norway masing-masing berkongsi 13 mata.
Peluang Norway yang hanya berbaki satu perlawanan bagaimanapun lebih tipis memandangkan Portugal dan Denmark yang masing-masing dijangka mampu mencatat kemenangan ke atas Iceland dan Cyprus hari ini, bakal mengatur aksi penentuan di Copenhagen minggu depan.
Lapan naib juara pasukan akan mendapat peluang kedua pada playoff November ini untuk menentukan empat slot terakhir.
Turki, Serbia, Sweden dan Republik Czech adalah calon yang diramal tidak menghadapi masalah bergelar naib juara dalam kumpulan masing-masing. - AFP
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...